Thursday, January 22, 2009

UMNO semakin nazak! Pemikiran pemimpin Umno semakin hari semakin tidak rasional.


Datuk Seri Ahmad Zahid dalam kenyataannya yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian Rabu (21 Januari) 2009 menyebut semua ketua jabatan, agensi kerajaan Persekutuan di Perak dilarang menghadiri mesyuarat rasmi anjuran Kerajaan Perak.

Beliau juga menyebut bahawa kerajaan Pusat juga tidak mengiktiraf tandatangan dan cop rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Penghulu untuk sebarang urusan dengan agensi Kerajaan Pusat.




MB Perak Dato’ Seri Nizar dalam mengulas arahan tidak berasas Zahid sewaktu sidang media di Ipoh semalam, ianya merupakan satu perkara yang amat malang dan sesungguhnya tidak menghormati kedudukan dan hak rakyat Perak. Kerajaan Negeri Perak sentiasa mahu menjalin hubungan baik dengan Persekutuan, tapi kalau sikap seorang menteri mahu menghentikan dan memutuskan perhubungan di antara pegawai Persekutuan dengan kerajaan negeri, ini sesuatu yang amat menyedihkan.

Menurut Dato’ Ngeh pula, kenyataan yang dibuat Zahid ini amat menyedihkan kerana ia akan menjerumuskan negara Malaysia kepada satu sistem yang tidak menghormati undang-undang kerana JKKK merupakan satu entiti yang diletakkan di bawah undang-undang dan juga diperakui oleh kerajaan negeri Perak dan begitu juga insitusi penghulu.
Dimanakah Zahid meletakkan fikirannya ketika mengeluarkan arahan tersebut. Mungkin pemimpin Umno/BN kini terlalu sibuk sehingga terpaksa bermimpi di siang hari (tak cukup tidur malam agaknya). Andaikan sekiranya beliau melakukan demikian bertujuan untuk menjadi hero Umno/BN, tambahan pula pemilihan parti semakin dekat, janganlah sampai merapu yang bukan-bukan. Cukuplah memalukan diri sendiri dengan isu penutupan 700 Tadika Kemas oleh Kerajaan PR Perak.

Mungkin Zahid sudah berangan menjadi TPM atau PM dengan mengeluarkan arahan yang sebegini besar. Adakah keputusan ini sudahpun diluluskan oleh mesyuarat kabinet? Kalau belum, PM atau TPM kena ulas kenyataan Zahid. Kena bagi alasan yang kukuh kenapa ianya dilaksanakan. Kalau PM dan TPM tak buat sebarang kenyataan, ini menunjukkan bahawa Menteri BN sekarang dah boleh mengeluarkan arahan sesuka hati tanpa persetujuan kabinet. Adakah kedudukan Menteri BN, TPM, PM dah setaraf?

Di manakah kedudukan rakyat Perak di mata Zahid? Sekadar makluman yang diperolehi dari beberapa sumber, isu ini bukan sahaja menimbulkan kebingunan pimpinan Kerajaan PR Perak, namun pihak JPA dan Agensi Kerajaan Perak sendiri turut tidak berpuas hati dengan arahan tersebut. Bagi penjawat perkhidmatan awam, mereka bukanlah ahli politik yang harus diseretkan bersama dengan isu dan hal peribadi pemimpin politik. Mereka ikhlas bekerja untuk memberi khidmat kepada rakyat. Soal politik diserahkan kepada orang politik. Mereka harus bebas supaya dapat memberikan khidmat yang terbaik dengan telus dan adil tanpa sebarang rasa takut.

Malahan Timbalan Presiden Gerakan (salah satu parti dalam komponen BN), Datuk Chang Ko Yun dalam akhbar The Sun hari ini turut tidak bersetuju dengan kenyataan Zahid kerana menurut beliau arahan tersebut akan memberi kesan yang tidak baik kepada kebajikan rakyat dan akhirnya rakyat Perak yang akan menjadi mangsa.

Dato’ Seri Nizar juga dalam sidang media semalam menegaskan, Kerajaan Negeri Perak akan tetap menjalankan kerja seperti biasa. Semua ketua jabatan dan agensi kerajaan akan terus dijemput ke majlis rasmi Kerajaan Negeri.
Pesanan kepada Zahid, kalau mau terus kekal menjadi Yang Berhormat, betulkan sikit fikiran tu. Banyakkan berehat. Banyakkan bersenam. Makan secara sihat. Banyakkan beristighfar. Biar fikiran menjadi tenang. Barulah boleh membuat kenyataan secara positif dan praktikal. Dia kena ingat bahawa dia adalah rakyat Perak. Jangan sampai menjadi terbuang kerana khianat di negeri sendiri.

Wednesday, January 14, 2009

Betul ke Kerajaan PR Perak Rampas Gerai? TV3, selidikla betul-betul!

Malam semalam, menerusi slot Buletin Utama, rangkaian stesyen swasta MEDIA Prima melalui TV3 telah menyiarkan berita mengenai Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak telah merampas gerai orang awam yang terdapat di sungai Siput.

Tidak habis dengan fitnah penutupan tadika kemas yang masih diputarbelitkan walaupun isu itu sudah terang lagi bersuluh, media-media kuncu BN ini masih tidak serik-serik menimbulkan fitnah walaupun mereka tahu bahawa menyiarkan berita bohong itu adalah merupakan pantang dalam etika kewartawanan.

Melalui maklumat yang diterima dari salah seorang pegawai yang terdapat di Pejabat Daerah Sungai Siput, isu tersebut berlaku apabila peniaga-peniaga yang terdapat di premis tersebut telah dipotong bekalan elektrik dan air oleh pihak-pihak berwajib.

Siapakah yang memberikan arahan kepada mereka untuk memotong bekalan elektrik dan air?

Jawapannya sungguh mudah! Bekalan air dan elektrik dipotong adalah disebabkan oleh pemilik premis berkenaan iaitu JKKK terdahulu telah menutup akaun elektrik dan air mereka. Itu sahaja! Jadi biasalah, apabila akaun telah ditutup, maka elektrik dan air akan dipotong dan akan disambung semula apabila akaun baru dibuka untuk premis berkenaan oleh TNB dan Lembaga Air Perak. Oleh yang demikian, tidak timbul isu bahawa penutupan elektrik dan air itu datang dari arahan pihak kerajaan.

JKKK terdahulu menutup akaun elektrik dan air kerana pengurusan mereka telah pun tamat tempoh apabila JKKK yang lama telah ditukar dengan JKKK yang baru. Sekarang ini pengurusan premis berkenaan telah pun diserahkan oleh JKKK yang lama kepada JKKK yang baru pada 31 Disember 2008. Apabila JKKK yang baru mengambil alih pengurusan premis, mereka ingin membuka premis berkenaan kepada penyewa baru yang dibuat secara tender terbuka. Apa yang silapnya ialah, JKKK yang baru tidak memberikan notis pindah lebih awal kepada penyewa untuk mencari tempat perniagaan yang baru. Jadi ini menimbulkan masalah apabila JKKK lama telah menutup akaun yang menyebabkan elektrik dan air dipotong sebelum mereka sempat berpindah.

Kenapa JKKK baru tidak terus membuka akaun elektrik dan air yang baru sebaik sahaja mengambil alih? Kenapa JKKK baru mahu mencari penyewa baru? Adakah ia bermotifkan politik?

Jawapannya, menurut maklumat yang diperolehi, penyewa sekarang sudah lama tidak membayar sewa kepada JKKK dan sewa mereka semakin lama semakin tertunggak. Oleh kerana tidak mahu perkara ini berlarutan, maka mereka membuat keputusan untuk mencari penyewa baru secara tender terbuka. Maka dengan sebab itulah mereka masih belum mahu membuka akaun baru sehinggalah mendapat penyewa yang baru.

Dalam konteks ini kedua-dua belah pihak bersalah. Kesalahan JKKK baru ialah kerana mereka tidak mengeluarkan notis lebih awal dan kesalahan penyewa ialah mereka liat nak bayar sewa. Isu ini masih dalam peringkat perbincangan dan dalam usaha untuk diselesaikan oleh Penghulu dan Pejabat Daerah.

Hanya yang dikesalkan, kenapa isu kecil sebegini pun mahu dipolitikkan dan dilontarkan fitnah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak? YB Datuk Ahamad Pakeh Adam, Adun Lintang turut sama sibuk melibatkan diri mengeluarkan kenyataan memburukkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sedangkan beliau sepatutnya sebagai seorang pemimpin harus menyelidiki isu ini terlebih dahulu dan menyesaikan dengan cara yang terbaik.

Bapak Borek anak Rintik! Datuk Ahamad Pakeh Adam nampaknya menurut perangai pimpinannya seperti Datuk Seri Ahmad zahid Hamidi dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Agaknya inilah yang jadi kepada pemimpin-pemimpin Umno kini. Suka memperjuangkan isu secara membabi buta.

Thursday, January 8, 2009

Pakatan Rakyat Perak jadikan tahun 2009 bebas dari gangguan rasuah, salahguna kuasa

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak berhasrat menjadikan tahun 2009 sebagai tahun untuk menyelesaikan permasalahan rakyat tanpa ada sebarang bentuk gangguan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamalauddin berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak sentiasa bertindak mengikut prinsip hubungan baik dan mantap di antara anggota-anggota Exco dari ketiga-tiga parti iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kita telah membuat kelulusan dan menyenaraikan beberapa masalah untuk diselesaikan serta menyeragamkan beberapa isu yang masih belum dapat diselesaikan. “Jadi untuk itu, permohonan mana-mana rakyat sama ada individu ataupun syarikat (company), kita bagi kelulusan secepat mungkin,’’ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kali pertama di pejabat beliau di Ipoh 7 Januari lalu.

Ditanya mengenai isu tadika kemas, beliau mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan tidak ada dan tidak pernah mengeluar sebarang arahan mengenai penggunaan dewan orang ramai sebagai premis dan kelas tadika kemas.

Katanya beliau amat kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi bertajuk “Perak Kunci Dewan 700 Tadika Kemas”. “Tindakan jejas 11,000 kanak-kanak’’ dimuka surat 11, Berita Minggu Keluaran Ahad 4 januari lalu yang mengambarkan seolah-olah kerajaan negeri menghalang murid-murid masuk ke dalam bangunan dewan tadika kemas.

Ditanya wartawan mengenai dakwaan ada seorang ketua kampung yang menghantar surat membuat arahan sebegitu, beliau menjelaskan jika ketua kampung terbabit berbuat demikian maka dia terpaksa menanggung sendiri perbuatannya dan akan disuruh berhenti

“Kita punyai 817 ketua kampung jadi jika salah seorang ketua kampung menulis satu surat tidak bermakna itu keputusan kerajaan negeri,” katanya.

Pemimpin kawasan Changkat Tin buat laporan polis.


Kenyataan palsu berunsur fitnah dan pembohongan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi telah menimbulkan bantahan dan kemarahan dikalangan anggota parti Pakatan Rakyat Perak.


Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Adun Malim Nawar, Abu Bakar Ibrahim, 51, telah membuat bantahan itu dengan membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Tualang pada 6 Januari jam 11.35 pagi.


Dalam laporannya, beliau menyifatkan kenyataan Datuk Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai satu kenyataan yang bukan sahaja mengelirukan rakyat Perak tetapi juga turut menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan para guru tadika kemas di negeri ini.


“Saya membuat bantahan ini kerana merasakan rakyat perlu tahu bahawa kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak benar dan bermotifkan politik,’’ katanya.


Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Markas Pakatan Rakyat DUN Malim Nawar berkata, kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu adalah palsu dan rakyat dapat menilai kebenarannya.


Katanya, beliau telahpun membuat tinjauan ke beberapa sekolah tadika kemas di kawasan DUN Malim Nawar dan mendapati ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.


“Ini sekaligus membuktikan betapa Kerajaan Pakatan Rakyat Perak sentiasa mementingkan soal pendidikan rakyat negeri ini,’’ katanya.

Tadika Kemas di Perak beroperasi seperti biasa.



Bukti menunjukkan bahawa Tadika Kemas Tanjung Tualang (gambar atas) dan Tadika Changkat Tin (gambar bawah) beroperasi seperti biasa.


“Baru setahun saya mengajar kanak-kanak di Tadika Kemas Changkat Tin ini dan sehingga ke hari ini ia tetap berjalan seperti biasa,’’ kata seorang guru tadika, Nona Asian Nordin, 36 kepada Citra Perak baru-baru ini. Dalam temuramah tersebut beliau menyatakan bahawa beliau tidak menerima sebarang arahan daripada Kerajaan Negeri Perak untuk menutup operasi tadika tersebut.

Ini jelas merupakan satu jawapan dan kebenaran kepada kekeliruan yang timbul akibat kenyataan palsu yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mengunci dewan 700 tadika kemas yang menjejaskan 11,000 kanak-kanak.

Apa yang jelas dalam tinjauan wakil Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Perak ke tadika berkenaan mendapati suasana pembelajarannya berjalan dengan lancar di mana 11 orang kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun tekun belajar bersama guru mereka.

Tinjauan juga mendapati kedudukan kelas tadika kemas berkenaan dan peralatan persekolahan juga berada dalam keadaan baik sekaligus menimbulkan satu suasana pembelajaran yang selesa dan sempurna.

Menurut Nora, beliau merasa bangga kerana dapat mengajar anak bangsanya dengan pengalaman yang ada dan dalam keadaan dan suasana pembelajaran yang sedia ada di tadika kemas itu.

Monday, January 5, 2009

Zahid berbohong! Malas kaji maklumat.


Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk mengunci pintu dewan orang ramai yang digunakan untuk 700 kelas bagi lebih 11,000 kanak-kanak Tadika Kemas di seluruh Perak seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.


Kerajaan Negeri Perak berasa amat kesal dengan kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang telah diperbesar-besar dan disensasikan oleh media arus perdana sedangkan kenyataan yang dibuat itu tidak benar sama sekali. Zahid hanya mendengar desas desus orang tertentu dan terus membuat kenyataan tanpa selidik terlebih dahulu.

Ekoran daripada kenyataan yang dibuat oleh Zahid itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula telah membuat kenyataan yang menghentam kerajaan Pakatan Rakyat Perak dan menyifatkannya sebagai angkuh dan terlalu mementingkan kuasa.


Sepatutnya Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai menteri membuat penyiasatan terlebih dahulu berhubung kenyataan palsu itu sebelum membuat kenyataan di dalam media.

Menurut beberapa sumber, ada tadika kemas yang ditutup sepanjang cuti persekolahan. Namun ianya ditutup atas sebab keselamatan barang-barang di dalam tadika tersebut seperti komputer dan sebagainya.

Kenyataan palsu berhubung isu ini sebenarnya sengaja dimainkan oleh pemimpin-pemimpin BN dengan niat untuk meraih undi rakyat apatah lagi menjelang hampirnya pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam melaksanakan pemerintahan yang adil dan telus, Kerajaan PR Negeri Perak akan mengikut prosedur sekiranya ingin membuat suatu tindakan. Mengikut prosedur, semua keputusan berhubung pentadbiran kerajaan mesti diluluskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. Ia kemudiannya di bawa kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan seterusnya kepada pegawai daerah , penghulu dan ketua kampung untuk dilaksanakan bagi kepentingan dan faedah rakyat jelata.

Menurut YB Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong, beberapa tadika kemas di kawasan beliau beroperasi seperti biasa dan tidak pun ditutup.

Sekali lagi ditegaskan, Kerajaan Negeri Perak di bawah PR sama sekali tidak pernah mengeluarkan sebarang pekeliling ataupun arahan supaya tadika kemas ditutup. Malahan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim turut hadir ke sidang media bagi menjelaskan bahawa fakta tadika kemas diarahkan untuk ditutup adalah tidak benar sama sekali.

Jelas! Ini merupakan satu pembohongan dan fitnah besar terhadap rakyat negeri Perak dan kenyataan yang dibuat ini tidak sesuai sebagai pemimpin yang bertaraf menteri apa tah lagi beliau baru sahaja pulang dari mengerjakan ibadat haji.

Esok, kita akan meninjau beberapa tadika kemas yang terdapat di negeri Perak untuk mengenal pasti adakah mereka menerima mana-mana arahan dari Kerajaan Negeri Perak untuk menutup tadika kemas ini.

Sila klik di sini untuk muat turun press statement MB untuk isu ini.