Tuesday, November 30, 2010

Resolusi S Alam utamakan kerjasama negeri Pakatan

Pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat hari ini sepakat mengumumkan satu resolusi bagi mewujudkan penyelarasan daripada segi pelaksanaan, perkongsian pengalaman serta jawatankuasa bersama.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Resolusi Persidangan Shah Alam itu dicapai setelah mengambil persetujuan semua ketua negeri yang dikuasai Pakatan -- Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dalam satu persidangan di Shah Alam hari ini.

khalid ibrahimSetiap ketua menteri dan menteri besar dari negeri berkenaan masing-masing membuat pembentangan kertas kerja meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran dalam persidangan berkenaan.

"Kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman,” kata Khalid yang membacakan resolusi berkenaan.

Resolusi berkenaan menggariskan lima janji penting – antaranya untuk membentuk satu "pakatan ekonomi" di antara kerajaan negeri-negeri di bawah Pakatan dan mengurangkan amalan birokrasi dalam pentadbirannya.

Kerjasama exco negeri Pakatan

Dokumen itu antara lainnya turut menyentuh usaha memperkukuhkan permuafakatan antara pemimpin Pakatan serta mengkaji usahasama yang boleh dijalankan antara anggota exco kerajaannya.

Resolusi berkenaan juga menetapkan janji untuk memastikan persefahaman dan kelunakan hubungan antara pemimpin politiknya dengan pentadbiran negeri, kata Khalid lagi dalam persidangan di kompleks perumahan kerajaan, Seksyen 7, Shah Alam, lewat malam semalam.

"Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat," katanya lagi dalam ucapan perasmiannya itu.

Persidangan berkenaan merupakan yang kedua seumpamanya yang diadakan melibatkan ketua-ketua kerajaan Pakatan. Persidangan pertama telah diadakan di Mentalun Kedah pada 18 Januari tahun lalu.- Malaysiakini

Sidang ketua negeri Pakatan tak bincang p'raya

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan sama ada negeri-negeri Pakatan Rakyat akan mengadakan pilihan raya negeri apabila parlimen dibubarkan akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing.

Isu berkenaan bagaimanapun tidak dibincangkan dalam Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Shah Alam hari ini, katanya.

"Kita di sini berbincang mengenai meneruskan cita-cita rakyat daripada segi pentadbiran yang baik dan pengurusan baik.

"Daripada segi pilihan raya, biasanya kita akan berbincang dalam Pakatan Rakyat keseluruhannya sebagai satu kumpulan politik," katanya kepada pemberita di kompleks perumahan kerajaan, Seksyen 7, Shah Alam.

Turut hadir di persidangan itu ialah menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim

Dalam pada itu, Khalid juga berkata beberapa bengkel akan diadakan bagi ketua kerajaan dan juga exco negeri bagi empat negeri berkenaan.

Antara fokus yang diutamakan dalam bengkel berkenaan ialah ketelusan, tanggungjawab dan kecekapan.

Persidangan berkenaan turut menumpukan terhadap kaedah untuk menangani publisiti dan laporan negatif oleh media arus perdana, kata Khalid lagi.

Beliau turut menggariskan bahawa Selangor sedang merangka pelan untuk meningkatkan pelaburan asing dan tempatan di negeri berkenaan dan seterusnya ke negeri-negeri dikuasai Pakatan.- Malaysiakini

Sunday, November 28, 2010

Anwar mahu kumpul semua calon kalah

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa calon-calon yang kalah dalam pemilihan PKR, termasuk naib presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub, tidak akan diketepikan oleh parti.

Sebaliknya, kata beliau, mereka akan diberikan peranan tertentu dalam dalam kepimpinan parti sebagai usaha memperkuatkan PKR.

"Mengapa beliau (Mustaffa Kamil) harus diketepikan. Beliau adalah orang yang teruji... Kita akan panggil semula rapatkan kepimpinan," katanya ketika menyampaikan ucapan di akhir kongres PKR di Petaling Jaya.

Katanya, selain Mustaffa, beliau juga akan memanggil calon yang kalah antaranya, calon Ketua Pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin dan ahli parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Mustaffa berkata beliau akan berbincang dengan kepimpinan baru yang dilantik untuk memberi peranan kepada pihak yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Dalam ucapan juga, Anwar menjanjikan peranan yang penting kepada pemimpin daripada Sabah dan Sarawak dalam memperkuatkan barisan kepimpinan parti itu.

Mengulas tentang aduan kelemahan pengurusan pemilihan, Anwar berkata perkara itu akan diperbaiki termasuk memberi jaminan bahawa partinya akan menjawab segala aduan yang dikemukakan.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan berpesan kepada perwakilan supaya tidak rasa tergugat dengan serangan yang dilemparkan kepada Anwar dan PKR.

Sambil mengungkap kembali apa yang dihadapinya sejak suaminya dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri, beliau menegaskan tidak rasa tergugat dengan semua itu.

"Saya pergi kemana-mana, ada orang pandang hina kepada saya. Saya tidak terasa apa-apa, sebab saya percaya kepada keadilan. Peduli apa orang kata," katanya.

PKR umum keputusan rasmi pemilihan

Azmin Ali hari ini diumumkan secara rasmi sebagai timbalan presiden PKR yang baru, selepas menang jawatan tersebut dalam pemilhan parti itu dengan majoriti besar.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan di Kongres PKR di Petaling Jaya awal petang ini, Azmin mendapat 19,543 undi.

Bagaimanapun jumlah undi yang diterima pencabarnya Mustaffa Kamil Ayub tidak diumumkan.

Bagi jawatan naib presiden, tiga pemenangnya ialah ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Selain Nurul yang juga anak sulung ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga lagi pemenang jawatan tersebut ialah ahli parlimen Batu Tian Chua, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mansor Othman.

Berikut keputusan rasmi pemilihan:

Presiden (menang tanpa bertanding)

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan presiden

Azmin Ali - 19,543 undi

Naib presiden

Nurul Izzah Anwar - 13,211

Tian Chua - 11,744

Fuziah Salleh - 8,927

Mansor Othman - 8,576

Majlis pimpinan pusat

  1. Elizabeth Wing 10,897
  2. Badrulamin Bahron 9,672
  3. Heee Loy Sian 8,473
  4. Khalid Jaafar 7,889
  5. Johari Abdul 7,719
  6. Abdul Rahman Yusof 7,719
  7. Haniza Talha 7,588
  8. Fariz Musa 7,511
  9. Zakaria Abdul Hamid 7170
  10. Roland Chian Ming Shen 7,095
  11. Siti Aishah 6,876
  12. Ismail Yusof 6,332
  13. Latheefa Koya 6,242
  14. S Kesavan 6,139
  15. Shuhaimi Shafie 6,095
  16. MR Summugam 5,964
  17. Yusmadi Yusoff 5,810
  18. S Manikumar - 5,789
  19. Mustafa Kamal Yusoff - 5,745
  20. Christina Liew - 5,707

Saturday, November 27, 2010

Perwakilan lontar 'seribu' persoalan untuk JPP

Seorang perwakilan Kongres PKR mengemukakan soalan bertalu-talu kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung isu yang berkaitan dengan pemilihan parti itu.

pkr congress 271110 zulkifli ibrahimPerwakilan Perak Zulkifli Ibrahim antaranya mempersoalkan sama ada badan pentadbir pemilihan langsung itu diberi kuasa penuh tanpa diganggu oleh mana-mana pihak.

Ketika membahaskan ucapan dasar presiden, Zulkifli juga mempersoalkan kelayakan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution membuat kenyataan berhubung berhubung pemilihan bagi pihak pengerusi JPP Dr Molly Cheah.

"Adakah benar, kadang-kadang pengerusi JPP tidak diberitahu ketika sesuatu pengumuman dibuat di akhbar?

"Adakah kuasa yang diberikan kepada ahli JPP membuat sesuatu keputusan sendiri tanpa merujuk kepada pengerusi dan ahli JPP yang lain, contohnya dalan kes Hulu Selangor?

"Betulkah setiap aduan dan bantahan oleh pengadu disiasat dan atau hanya dibuat keputusan di atas meja semata-mata?" soalnya bertalu-talu sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Zulkifli yang juga Ketua PKR cabang Tambun berkata, beliau sendiri sudah tiga kali menghantar bantahan kepada JPP tetapi belum pasti sama ada ia disiasat.

pkr congress 271110 crowdBeliau terus bertanya, sama ada benar JPP tidak cukup tenaga untuk
membuat penyiasatan dan adakah aduan yang belum selesai akan diteruskan siasatan selepas kongres tamat.

Sementara itu, seorang lagi wakil Perak yang berucap tidak lama selepas itu M Thinagaran turut menyentuh perkara yang sama, tapi dengan nada berbeza.

"Ia (pemilihan) sepatutnya lancar. Saya tak tahu di mana salah dan silap hingga tiba-tiba diseret ke mahkamah bagi mendapatkan (perintah) injunksi," kata Thinagaran.

Mengakui percaya pada ketegasan parti, beliau menegur cara penyampaian maklumat dalam PKR, antaranya penggunanaan istilah yang "elit" dan masalah komunikasi.

"Cuba guna perkataan yang mudah difahami. Perkataan trojan horse (musuh dalam selimut) contohnya, apa itu trojan horse?

"Rakyat tak faham istilah ini. Kita kena perkataan yang biasa untuk menjelaskan apa yang cuba dimaksudkan."