Tuesday, November 30, 2010

Sidang ketua negeri Pakatan tak bincang p'raya

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan sama ada negeri-negeri Pakatan Rakyat akan mengadakan pilihan raya negeri apabila parlimen dibubarkan akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing.

Isu berkenaan bagaimanapun tidak dibincangkan dalam Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Shah Alam hari ini, katanya.

"Kita di sini berbincang mengenai meneruskan cita-cita rakyat daripada segi pentadbiran yang baik dan pengurusan baik.

"Daripada segi pilihan raya, biasanya kita akan berbincang dalam Pakatan Rakyat keseluruhannya sebagai satu kumpulan politik," katanya kepada pemberita di kompleks perumahan kerajaan, Seksyen 7, Shah Alam.

Turut hadir di persidangan itu ialah menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim

Dalam pada itu, Khalid juga berkata beberapa bengkel akan diadakan bagi ketua kerajaan dan juga exco negeri bagi empat negeri berkenaan.

Antara fokus yang diutamakan dalam bengkel berkenaan ialah ketelusan, tanggungjawab dan kecekapan.

Persidangan berkenaan turut menumpukan terhadap kaedah untuk menangani publisiti dan laporan negatif oleh media arus perdana, kata Khalid lagi.

Beliau turut menggariskan bahawa Selangor sedang merangka pelan untuk meningkatkan pelaburan asing dan tempatan di negeri berkenaan dan seterusnya ke negeri-negeri dikuasai Pakatan.- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment