Tuesday, October 25, 2011

Najib tak hadir, demo pro-Aziz diteruskan


Walaupun penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik semalam, kumpulan mahasiswa tetap mahu meneruskan perhimpunan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dekat ibu negara malam ini.

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu juga akan berlangsung tanpa kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak akan hadir ke program yang dijadualkan di universiti itu malam ini.

"Kami bersetuju meneruskan bantahan terhadap isu itu kerana SMM cuba mengangkat isu kebebasan akademik dan bukan hanya kes Aziz Bari semata-mata," kata Penyelaras Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) Khalid Mohd Ismath.

Katanya, mereka insaf bahawa banyak lagi kes dalam bidang pengetahuan di mana kebebasan menyampaikan maklumat akademik ditahan.

KAMI antara kumpulan bergabung dalam SMM.

Peguam Aziz semalam memberitahu, UIA menarik balik penggantungan itu berkuatkuasa serta merta dan dipercayai ekoran tekanan pelbagai pihak.

Najib dijadual hadir ke pertandingan akhir Debat Piala Perdana Menteri antara institusi pengajian tinggi di UIA.

Bagaimanapun, jadual terkini yang dikeluarkan agensi berita nasional Bernama menyatakan, teks ucapannya akan dibacakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata, bantahan itu bertujuan menggesa UIA menghentikan siasatan terhadap Aziz susulan penarikan balik penggantungan itu.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment