Kerajaan Pakatan Rakyat Perak berhasrat menjadikan tahun 2009 sebagai tahun untuk menyelesaikan permasalahan rakyat tanpa ada sebarang bentuk gangguan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamalauddin berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak sentiasa bertindak mengikut prinsip hubungan baik dan mantap di antara anggota-anggota Exco dari ketiga-tiga parti iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Kita telah membuat kelulusan dan menyenaraikan beberapa masalah untuk diselesaikan serta menyeragamkan beberapa isu yang masih belum dapat diselesaikan. “Jadi untuk itu, permohonan mana-mana rakyat sama ada individu ataupun syarikat (company), kita bagi kelulusan secepat mungkin,’’ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kali pertama di pejabat beliau di Ipoh 7 Januari lalu.
Ditanya mengenai isu tadika kemas, beliau mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan tidak ada dan tidak pernah mengeluar sebarang arahan mengenai penggunaan dewan orang ramai sebagai premis dan kelas tadika kemas.
Katanya beliau amat kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi bertajuk “Perak Kunci Dewan 700 Tadika Kemas”. “Tindakan jejas 11,000 kanak-kanak’’ dimuka surat 11, Berita Minggu Keluaran Ahad 4 januari lalu yang mengambarkan seolah-olah kerajaan negeri menghalang murid-murid masuk ke dalam bangunan dewan tadika kemas.
Ditanya wartawan mengenai dakwaan ada seorang ketua kampung yang menghantar surat membuat arahan sebegitu, beliau menjelaskan jika ketua kampung terbabit berbuat demikian maka dia terpaksa menanggung sendiri perbuatannya dan akan disuruh berhenti
“Kita punyai 817 ketua kampung jadi jika salah seorang ketua kampung menulis satu surat tidak bermakna itu keputusan kerajaan negeri,” katanya.
No comments:
Post a Comment