Monday, January 5, 2009

Zahid berbohong! Malas kaji maklumat.


Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk mengunci pintu dewan orang ramai yang digunakan untuk 700 kelas bagi lebih 11,000 kanak-kanak Tadika Kemas di seluruh Perak seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.


Kerajaan Negeri Perak berasa amat kesal dengan kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang telah diperbesar-besar dan disensasikan oleh media arus perdana sedangkan kenyataan yang dibuat itu tidak benar sama sekali. Zahid hanya mendengar desas desus orang tertentu dan terus membuat kenyataan tanpa selidik terlebih dahulu.

Ekoran daripada kenyataan yang dibuat oleh Zahid itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula telah membuat kenyataan yang menghentam kerajaan Pakatan Rakyat Perak dan menyifatkannya sebagai angkuh dan terlalu mementingkan kuasa.


Sepatutnya Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai menteri membuat penyiasatan terlebih dahulu berhubung kenyataan palsu itu sebelum membuat kenyataan di dalam media.

Menurut beberapa sumber, ada tadika kemas yang ditutup sepanjang cuti persekolahan. Namun ianya ditutup atas sebab keselamatan barang-barang di dalam tadika tersebut seperti komputer dan sebagainya.

Kenyataan palsu berhubung isu ini sebenarnya sengaja dimainkan oleh pemimpin-pemimpin BN dengan niat untuk meraih undi rakyat apatah lagi menjelang hampirnya pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam melaksanakan pemerintahan yang adil dan telus, Kerajaan PR Negeri Perak akan mengikut prosedur sekiranya ingin membuat suatu tindakan. Mengikut prosedur, semua keputusan berhubung pentadbiran kerajaan mesti diluluskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. Ia kemudiannya di bawa kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan seterusnya kepada pegawai daerah , penghulu dan ketua kampung untuk dilaksanakan bagi kepentingan dan faedah rakyat jelata.

Menurut YB Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong, beberapa tadika kemas di kawasan beliau beroperasi seperti biasa dan tidak pun ditutup.

Sekali lagi ditegaskan, Kerajaan Negeri Perak di bawah PR sama sekali tidak pernah mengeluarkan sebarang pekeliling ataupun arahan supaya tadika kemas ditutup. Malahan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim turut hadir ke sidang media bagi menjelaskan bahawa fakta tadika kemas diarahkan untuk ditutup adalah tidak benar sama sekali.

Jelas! Ini merupakan satu pembohongan dan fitnah besar terhadap rakyat negeri Perak dan kenyataan yang dibuat ini tidak sesuai sebagai pemimpin yang bertaraf menteri apa tah lagi beliau baru sahaja pulang dari mengerjakan ibadat haji.

Esok, kita akan meninjau beberapa tadika kemas yang terdapat di negeri Perak untuk mengenal pasti adakah mereka menerima mana-mana arahan dari Kerajaan Negeri Perak untuk menutup tadika kemas ini.

Sila klik di sini untuk muat turun press statement MB untuk isu ini.

No comments:

Post a Comment